Jumaat, 9 Disember 2016

KUN ANTA/BE YOURSELF/JADI DIRI SENDIRI

PLEASE BACA:)..KUN ANTA


" A beautiful face wins the eyes,but a beautiful manner wins the hearts."

Kenali diriku sebelum mengatakan sesuatu.Aku bukan siapa-siapa,tapi aku berharap,bacalah bait-bait kata dariku sampai habis,pinjam 3 minit korang yang bernilai tu :)

Kepada Allah maha kuasa,ketika itulah keyakinan muncul.Sedangkan bersandar pada lidi yang lembut,sudah dirasakan ketara berbeza dengan bersandar pada dinding atau tembok yang besar,inikan pula beza bersandar dengan makhluk yang lemah dengan bersandar pada Maha pencipta segalanya.

Kita perlu jadi diri kita sendiri.Seorang hamba yang lemah,berusaha yang terbaik kerana itulah yang dikehendaki oleh pencipta,lalu berserah kepada-Nya kerana Dialah yang Maha Berkuasa.

Ketika saya sedar siapa diri saya,ketika itulah saya lebih yakin.Bukan hilang perasaan malu yang sangat tebal itu,tetapi malu itu tidak menghalang saya untuk ke hadapan.Kerana yang dicari ketika itu bukan perhatian dan pujian manusia,tetapi yakin Allah Maha melihat,Maha menilai dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-NYa.Tidak perlu lagi meniru manusia lain untuk dikatakan hebat,tidak perlu terlalu terikut TREND untuk dilihat cantik,hensem,smart dan tidak terasa besar diri.
Ketika itu,"rendah diri tanpa menghina diri,yakin tanpa takabbur."

Patutlah Allah mengharamkan takabbur,kerana memang manusia sendiri akan hancur dengan sifat itu.

Bermacam macam pengalaman yang kita lalui sebelum ini.Sedarkah bahawa itulah yang menjadikan kita lebih kuat dari sebelumnya dan mematangkan fikiran kita.Tidak kesahlah sama ada pengalaman tersebut manis mahupun pahit,kerana semuanya tidak terlepas dari rencana Qada' dan Qadar Allah SWT.Dia tahu apa yang terbaik buat kita kerana dialah sebaik-baik perancang,sebaik-baik pengatur kehidupan.Jika fikiran kita sudah di set kan sebegitu,apa pun yang akan ditempuhi pada hari muka amatlah mudah.


#jadilah dirimu yang penuh kelemahan dan kekurangan,namun kuat lagi hebat dengan kebergantungan pada Allah maha kuasa.Bila kita menjadi diri kita yang sebenar,maka jalan di hadapan terbentang luas,kerana kita mengenali siapa diri kita.KUN ANTA jadilah dirimu,tidak perlu menjadi yang lain.


Kita hamba pendosa,yang tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat kepada-NYa,yang sering lalai dalam mengingati-Nya.Namun,itu bukan bermakna bahawa pengakhiran hidup kita begitu juga.

Siapa di antara kita yang tidak mengenali seorang ulama' yang juga tokoh sufi yang terkenal,Al-Imam Fudhail bin 'Iyadh.Ada kisah menarik di sebalik seorang tokoh hebat ini sebelum beliau menjadi seorang kekasih Allah(wali Allah).
Pada mulanya beliau ialah seorang pencuri.Pada suatu malam,beliau berjalan masuk ke sebuah rumah untuk mencuri.Sedang beliau berjalan perlahan-lahan di dalam rumah itu,beliau telah terdengar suara seorang yang sedang membaca Al-Quran.Pada ketika itu,ayat yang sedang dibacakan ialah dari surah AL-HADID ayat ke-16 yang bermaksud:
"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman,untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-quran) yang diturunkan(kepada mereka)?

tatkala mendengar bacaan ayat suci tersebut beliau tergamam,terhenti seketika.Ayat tersebut telah menembusi hati sanubarinya dan sangat mempengaruhinya,sehingga beliau menjadi sedar akan dirinya yang telah lalai dan terpesong selama ini.Lalu beliau berkata:"wahai tuhan,telah tiba sekarang waktunya.telah tiba sekarang waktunya."
kemudian beliau keluar secara sembunyi-sembunyi dari rumah itu tadi.Beliau berwudhuk dan mendirikan solat serta bertaubat daripada segala dosanya.Beliau terus beribadat kepada Allah sehinggalah diangkat menjadi kekasih Allah.Tak kesahlaa siapa kita sebelum ini,yang penting siapa kita hari ini.Syurga dan Neraka adalah melalui perhitungan-Nya.Dialah yang maha bijaksana.


#Apabila hati tunduk kepada kebesaran Allah,maka jasad yang selama ini melakukan pelbagai maksiat,boleh menjadi taat hingga diangkat sebagai wali Allah.setiap kita pernah melakukan dosa.Cuma mungkin dosa kita berbeza jenis sahaja.Kalaulah dosa kita ada baunya yang busuk,nescaya tiada siapa ingin mendekati kita,lantaran busuknya dosa kita yang sangat banyak.Namun Allah maha pengampun,maha penerima taubat.Syaratnya,kita perlu kembali kepada-Nya.Apabila kita menyedari kita adalah pendosa,dan Allah tempat kembali,maka hati yang tunduk akan dipandu ke jalan yang diredhai-NYa.


Allah subhanahu wa ta'ala menguji hamba-NYa dengan pelbagai cara.Kita amat peka jika kita diuji dengan kesusahan dan perkara yang kita tidak sukai.Tetapi kita selalu leka jika diuji dengan keindahan dan perkara yang kita impi.Begitulah fitrahnya.

Maksiat pula adalah apa jua perkara yang dilarang oleh Allah atau meninggalkan perkara yang diperintahkan oleh-NYa.Amat berat bagi kita untuk cuba menghindari diri dari maksiat kerana seperti yang kita tahu,syaitan sentiasa menghiasi perkara maksiat dengan perkara indah,walaupun ia tidak indah jika difikirkan akal.Nafsu kita pula ada yang ammarah bissu' yang sentiasa cuba menggalakkan diri kita ke arah kejahatan.
Betapa pun kita dikelilingi kemaksiatan,kita perlulah bersabar dan menahan diri dari terjebak sama.Orang atasan mengajak pergi ke tempat yang tidak baik,sabarlah.Kawan-kawan rapat melakukan perkara yang mereka kata seronok tapi kita tahu bahawa ianya tidak baik,sabarlah.suasana persekitaran menjurus ke arah kita meninggalkan perkara yang baik serta melakukan kemaksiatan,sabarlah.sesungguhnya ganjaran kita itu begitu tinggi di sisi Allah yang Maha Penyayang.


SAYANG TAK SEMESTINYA BERDIAM DIRI

sayang kepada seseorang bukannya bermaksud kita akan berdiam diri apabila melihat orang lain melakukan maksiat.Namun apa yang perlu dilakukan adalah mencari jalan yang terbaik bagaimana ingin mengubah perkara tersebut.Inilah barulah sayang yang sebenar.Kalau kita berdiam diri daripada menegur,maka ini bermakna kita menyukai orang itu menjerumuskan dirinya ke dalan neraka.Sayangkah begitu?
Begitu juga dengan cara memalukan seseorang di hadapan orang ramai,menjatuhkan air mukanya bukanlah cara yang terbaik.Islam tidak mengajar sebegitu.Malah akan menyebabkan mereka semakin jauh daripada kebenaran.

#CINTAKAN MANUSIA,BIARLAH SAMPAI KE SYURGA.


NASIHAT BUAT DIRI

Apabila melakukan kebaikan,jangan mengharapkan balasan manusia,nanti engkau akan kecewa.Ikhlaskan dirimu semata-mata kerana Allah.Jangan mengharapkan pujian dan jangan menghiraukan celaan.Insya-Allah,kamu akan menemui kebahagiaan di dunia dan akhirat.
kata-kata Imam Ghazali:
"wahai anakku yang tercinta.Hiduplah engkau sesuka hatimu,kerana engkau pasti akan mati.Cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya.Buatlah apa sahaja engkau mahu kerana engkau akakan dibalas mengikut amal perbuatanmu."

sesuatu akan dihargai jika diketahui nilainya.Betapa banyak perkara yang bernilai,namun tidak dihargai disebabkan mata hati yang buta.Jika diketahui nilainya,nescaya manusia sanggup berkorban untuknya.Namun apa yang menyedihkan,kita hanya mengetahui nilainya apabila kita kehilangannya.

Segalanya telah tersurat.Hidup di dunia hanya sekali.sesiapa sahaja akan pergi.Begitu juga dengan diri ini yang menanti-nanti sisa waktu yang berbaki.Maafkan jasadku ini...

Penulis:-
MOHD HAFIZ FAHMI BIN AHMAD SHUKRI
(pendosa yang ingin ke syurga)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan